Monday, March 2, 2015

Kembara Sastera Sungai Linggi








































1 Mac 2015- Ikatan Persuratan Melayu (IPM) menganjurkan kembara sastera Sungai Linggi. 40 orang peserta mengikuti bagi menikmati keindahan dan kehijauan  sepanjang perjalanan hingga ke Tg Agas yang mengambil masa hingga 2 jam setengah. Kami bertolak dari jeti Kg Paya lebar menyusuri perlahan-lahan sungai hingga menemui dua sempadan yang menghubungkan Melaka dan Negeri Sembilan.
            Pernah dikaitkan dengan laluan yang digunakan oleh Hang Tuah semasa membawa puteri Tun Teja dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah. Malahan Sungai sejarah ini turut dikaitkan dengan Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Poh. Selain itu Sungai yang dikaitkan dengan udang galah ini dikatakan menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari China maka tidak hairanlah jika wujud tempat bernama Ramuan China dan Lubok China.
Sungai Linggi adalah jalan pengangkutan yang sangat penting dan di beberapa kawasan di sungai itu terutama di kawasan Sungai Rembau dan Sungai Pedas ada didirikan kubu pertahanan ketika berlaku peperangan dengan Inggeris satu masa dahulu.
Kami singgah ke pusat pembakaran arang yang disahakan oleh pasangan suami isteri. Proses pembakaran arang ini mengambil masa 24 jam. Kami diterangkan bagaimana proses menghasilkan arang. Arang yang telah siap dibungkus  mendapat permintaan tinggi hingga ke luar Melaka dan Negeri Sembilan terutama peniaga-peniaga Ikan .
Menurut sumber lisan, dahulu-kala Sungai Linggi boleh d imudik sejauh ke Pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi. Sejarah awal sekitar abad ke-16 Masihi, Sungai Linggi menjadi laluan perdagangan utama antara Melaka dan Sungai Ujong. Pada abad ke-18 Masihi,ia menjadi laluan perdagangan bijih timah. juga menjadi kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong. Datuk syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh bermula dari Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau,Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu. Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh dari Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut.
            Seterusnya kami ke Kota Simpang yang merupakan   peninggalan  sejarah  dari  Zaman  Belanda  datang  ke  Melaka. Tapak yang dipercayai bangunan pentadbiran Belanda ketika menjajah Melaka masih mempunyai tiang, tembok dan perigi.
Sebelum pulang kami singgah ke Taman Lokan. Di situ, beberapa orang ahli IPM termasuk ketua 1,  Tn Hj Razak Adam membacakan sajak berkaitan dengan keindahan sungai, kehidupan nelayan, perjuangan dan sebagainya.

Kembara sastera ini berakhir pada jam lima petang dengan menyaksikan nelayan-nelayan menjala, memancing, bangau putih singgah di pesisir  sungai, monyet-monyet berkeliaran di tepi sungai smabil memanjat dan bergayut dari satu dahan ke dahan yang lain. Malahan kami turut menyaksikan pelbagai jenis pokok dan buah-buahan yang sukar ditemui di pesisir sungai ini.