Saturday, September 27, 2014

Bicara Buku Penulis Melaka








































Pada 27  September 2014- Sabtu pada jam 8 pagi  telah berlangsung satu program usahama Ikatan persuratan Melayu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan iaitu Bicara Karya Penulis Melaka di SK Kg Tun Razak, Melaka
            Bicara karya Penulis Melaka telah membicarakan 3 genre iaitu Kumpulan Puisi, kumpulan cerpen dan novel yang berlangsung hampir 5 jam yang disertai oleh ahli-ahli IPM, peserta perseorangan dan pelajar-pelajar sekolah menengah. Program ini juga turut dihadiri pengarah DBPWS, Tn Hj Abd Rahim Omar. Moderator yang mengendalikan bicara ini ialah Tn Hj Rani, penyair Melaka yang tidak asing lagi memeriahkan suasana dengan syair, gurindam dan nazam  sebagai pembuka bicara.
            Kumpulan Puisi Murni: Antologi Sajak dan sebuah pantomin yang dikarang oleh Tn Hj Mokhtar diterbitkan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotik Malaysia (IKSEP) yang menghimpunkan kesemua karya-karya beliau dari tahun 1950-an hingga tahun 2000. Beliau yang juga Sasterawan Melaka dan mantan  Ketua 1 IPM turut hadir bersama isteri beliau. Karya beliau ini dbicarakan oleh sahabat beliau sendiri yang juga AJK IPM iaitu Prof Madya Arbak Othman. Kumpulan Puisi ini diulas dari segi pemikiran dan tuangan estetik dalam kumpulan puisi oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM). Puisi yang disusun secara kronologi dalam tempoh enam periode dalam perkembangan puisi Melayu menemui sedikit perubahan dari segi struktur mengikut perkembangan semasa.
            Bagi Kumpulan Puisi Mimpi Hartawan karya osman Dol pula dibicarakan oleh SM Zakir penerima S.E.A Write Award pada tahun 2011. Beliau membicarakan karya yang diterbitkan oleh  DBP pada tahun 2011  yang menghimpunkan 17 buah cerpen dari tahun 1968 hingga 1989. Cerpen yang didudun mengikut kronologi menyerlahkan bakat osman Dol sebagai penulis aliran realisme
            Bagi novel Tiga Enigma Cinta karya Zamidah Hashim diulas oleh penulis prolific iaitu Puan Nisah Haron. Novel berdimensikan feminisme dibicarakan dengan mantap oleh Puan Nisah Haron dengan membincangkan peranan-peranan wanita dalam novel tersebut. yang mengisahkan 3 sahabat baik yang berbeza latar belakang. Setiap watak dalam novel ini mengalami masalah rumah tanggadan sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga dengan menggunakan bomoh. Salah seorang sahabat redha dengan perkahwinan yang gagal dan seorang lagi tidak percaya yang dia diceraikan dengan si suami sedangkan rumahtangganya tidak bergolak.

            Bicara Karya Penulis Melaka turut diberi pendapat oleh Penulis karya tersebut dan sesi soal jawab antara peserta dengan pembicara karya juga berlangsung dengan baik. Pembicara juga meminta peserta terutama pelajar-pelajar sekolah menengah yang hadir menulis bahasa Melayu dengan baik tanpa merosakannya dengan singkatan  ataupun memendekkan yang boleh membawa makna yang lain.

Saturday, September 6, 2014

Bengkel Asas Sastera Haiku

Pada 30 Ogos- Sabtu bertempat di (MISDEC), Melaka. Ikatan Persuratan Melayu dengan usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur telah menganjurkan Bengkel Asas Sastera Haiku. Penceramah yang diundang adalah Tuan Hj Darma Mohamad yang merupakan penulis prolific dari Kelantan. Beliau antara penulis yang mahir menulis puisi Haiku. Beliau juga telah melahirkan buku yang menghimpunkan Haiku dan Tanka bersama seorang penulis yang hebat dalam puisi Jepun iaitu Puan Leyla Shuri.
            Bengkel yang berlangsung selama 8 jam telah menarik perhatian beberapa orang penulis Melaka yang juga ahli IPM. Malahan beberapa anak muda bukan sahaja di Melaka tetapi dari Johor turut menghadirkan diri di bengkel ini. Rata-rata mereka amat berminat dengan puisi ringkas ini tetapi sangat padat dengan maknanya yang mendalam. Haiku  mempunyai prinsip dalam membinanya iiatu 5-7-5 mengikut suku kata. Selain itu terdapat satu unsure yang perlu disematkan dalam puisi haiku iaitu  kata musim ataupun dalam bahasa Jepun Kigo yang merujuk kepada unsure alam ataupun peristiwa penting dalam kehidupan manusia.
            Puisi Haiku dalam bahasa Melayu sedikit pun tidak berubah sebaliknya menggunakan secara teknikal dalam memartbatkan bahasa Melayu dan juga budaya di Malaysia. Puisi Haiku dalam bahasa Melayu sebenarnya mampu meningkatkan rasa cinta manusia terhadap alam semula jadi dan juga setiap perayaan dan juga peristiwa di Malaysia. Malahan Puisi Haiku juga mampu menjadikan pohon-pohon, bunga-bunga, dan pelbagai unsure semula jadi menjadi symbol haiku yang mampu memberikan kesan emosi terhadap penulis dan juga pembaca.
            Bagi peserta yang menghadiri bengkel ini sebenarnya teruja dengan unsure haiku yang begitu unik. Darma Mohammad telah memberikan ceramah dan penerangan yang panjang lebar mengenai sejarah Puisi Haiku, tokoh-tokoh yang melopor bidang puisi Haiku sehingga  datangnya puisi  Haiku ke Malaysia. Para peserta juga diuji menghasilkan puisi Haiku mengikut musim atau symbol mengikut kreativiti masing-masing.
            .Walaupun penulisan Haiku dikongkong oleh pelbagai syarat dan tradisinya, seseorang penulis haiku pastinya akan menulis mengikut gaya dan cara sendiri bagi menggambarkan keinginan dan kecenderungan penulis. Dalam naratif puisi Haiku tidak memberikan jawapan secara terus terang sebaliknya meminta pembaca berfikir.