Permatang Pasir, Melaka - Pada 13 hingga 15 Jun telah berlangsung satu
bengkel penulisan cerpen dan sajak usahasama Ikatan Persuratan Melayu dengan
Dewan Bahasa dan Pustaka. Bengkel yang
dijalankan di Kak Long Chalet Resort. Bengkel ini telah menjemput dua penulis
yang juga bekas penulis Minggu Penulis Remaja (MPR) iaitu Salman Sulaiman dan
Fahd Razy untuk berkongsi teknik penulisan dan pengalaman sepanjang bergelar
penulis.
Fahd Razy telah dipertanggungjawabkan menyampaikan dan membimbing para peserta
dalam penulisan sajak. Penulis muda tersohor ini membantu penulis bagaimana
untuk menghasilkan sajak yang bermutu dan diterima oleh Editor. Pelbagai
saranan yang diberikan agar penulis tidak berputus asa.
Manakala Salman Sulaiman pula mengendalikan bahagian
penulisan cerpen. Penulis mapan yang telah menghasilkan 4 buah buku ini
membimbing para peserta bagaimana untuk menghasilkan cerpen yang baik dan
beliau meninggatkan para peserta agar menulis dengan ayat yang bermaruah.
Penulis mapan dari Machang Kelantan ini menyarankan agar setiap peserta membaca
karya-karya sastera yang berat dan memberi manfaat jika mahu menjadi penulis
hebat seperti Datuk A.Samad Said, Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah dan ramai lagi.
Dalam bengkel ini sesi bedah karya cerpen dan sajak telah
diadakan. Sebelum ini, para peserta telah diminta mengirimkan karya
masing-masing untuk dibedah oleh dua penceramah. Sesi bedah karya sajak, Fahd
Razy telah menilai dan memberi komen setiap sajak peserta dengan lebih
mendalam. Setiap peserta diberi sajak peserta lain dan diminta mengulas apa
yang difahami mengenai sajak rakan peserta yang lain. Setiap isi kata sajak
peserta dihuraikan satu persatu agar memastikan sajak yang dihasilkan bermakna
ataupun tidak. Fahd Razy juga menerangkan bagaimana untuk menggunakan teknik
perulangan dengan baik agar tidak terlalu klise begitu juga dengan penggunaan
simile, metafora, perlambangan dan sebagainya. Fahd Razy juga menyarankan agar
para peserta sentiasa embaca sajak-sajak penulis hebat seperti Zurinah Hassan,
Siti Zainon Ismail dan ramai lagi.
Bagi sesi bedah karya cerpen pula, Salman Sulaiman telah
membedah setiap cerpen peserta dengan menghuraikan setiap tema, dialog, plot
dan sebagainya. Beliau menyarankan agar peserta tidak terlalu ikut gaya penulisan
novel. Sebaiknya cepen yang dhasilkan juga harus menggunakan perkataan dan ayat
yang sesuai dan tidak meleret-leret. Beliau juga menyentuh penggunaan tajuk
yang sesuai dan mudah untuk pembaca.
Selesai sesi bedah karya, para peserta diminta mendeklamsikan
sajak. Dengan cara begini, para peserta boleh bersajak dan membina keyakinan sewaktu berhadapan dengan
masyarakat luar. Penceramah dilantik menjadi juri bagi menilai para peserta
dari segi suara, gaya dan persembahan. Para penceramah yang juga pembimbing
diminta mencari sajak dan cerpen terbaik peserta. 3 pembaca sajak terbaik ialah
Siti Zuraiha Husin, Shamsul Kahar Mohamad dan Mohd Idham Khalil. Bagi cerpen
terbaik pula dimenangi oleh Nurlidah Haun bagi cerpen bertajuk Sepuluh ringgit.
Bagi sajak pula bertajuk Kalut menjadi Jalut karya Norhafizah Kassim.
Pada hari terakhir, Salman Sulaiman dan Fahd Razy
merumuskan setiap perbincangan dari hari pertama hingga hari terakhir mengenai
cerpen dan sajak. Para penceramah juga meminta para peserta kena yakin dan
menghargai karya masing-masing dengan
menghantar ke mana-mana terbitan untuk disiarkan.
No comments:
Post a Comment