Thursday, August 16, 2018

Berita: Rombongan budayawan Filipina adakan kunjungan ke Melaka



Oleh SHAHARUDDIN DAUD
BANDARAYA MELAKA 15 Ogos – Deklamasi Puisi dalam bahasa Tagalog Filipina memukau hadirin dalam program Mahabbah Sastera Nusantara anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Melaka yang diadakan di Restoran Melayu, Jalan Tun Mutahir, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Antarabangsa dan Korporat, Kementerian Pendidikan, Dr. Mohd Ghazali Taib memberitahu, peserta yang mengikuti program tersebut terdiri dari guru beragama Islam.
Katanya, kunjungan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan siraturahim dalam kalangan umat Islam antara Filipina dan Malaysia. Para peserta tersebut memang berminat dalam bidang sastera dan kebudayaan.
Menurutnya, Melaka dipilih kerana keunikan tempat yang menarik di samping penduduknya yang mesra dan ramah tamah.
Seramai 18 orang peserta Bangsamoro dari Selatan Filipina berkunjung ke Melaka dalam rangka lawatan mereka ke negara ini.
Husin salah seorang pendeklamasi terkenal di Selatan Filipina berjaya mendeklamasikan puisinya dalam bahasa Tagalog dengan penuh semangat.
Sementara itu, Ketua 1 Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Razak Adam amat mengalukan kedatangan rombongan tersebut ke negeri ini.
IPM amat gembira menyambut baik kedatangan mereka kerana dapat mengenalkan IPM ke peringkat antarabangsa.
Katanya, kemungkinan IPM akan mengadakan kunjungan balas ke Filipina terutama Daboo City.
Pada masa sama, Ketua Delegasi Bangsamoro Selatan Filipina; Ahmad Mababaya dalam ucapannya memberitahu, beliau amat terharu di atas sambutan meriah yang diberikan oleh Ikatan Persuratan Melayu (IPM).
Katanya, kunjungan tersebut dapat mengeratkan lagi persaudaraan sesama Islam di sini.
Beberapa penulis terkenal IPM termasuk Rani Embi, Norliza Md.Yasin, Sufri Abu Bakar, Razak Adam, Zubaidah Ishak dan Hasnah Mohd Nor telah menunjukkan bakat mereka dalam berbagai bidang budaya termasuk puisi, syair; nazam dan gurindam.
Rombongan dari Bangsamoro juga telah membuat persembahan mereka termasuk tarian sumazau, deklamasi puisi dan nyanyian beramai-ramai. Peserta Filipina yang mengambil bahagian termasuk Aurora, Husin, Salahudin, Cabel Balan Nurhasan dan Ang Ating.

No comments:

Post a Comment