Wednesday, December 22, 2021

Bicara Buku Antologi Cerpen Sepetang di Kuala dan Antologi Puisi Ramban Musim

 


Assalamualaikum. Dengan rasa syukur, akhirnya penantian hampir dua tahun terbitlah dua antologi cerpen dan puisi sempena 70 tahun penubuhan Ikatan Persuratan Melayu. Pada 18 Dismeber 2021 telah berlangsung satu program bicara buku yang menampilkan Ketua 2 Ikatan Persuratan Melayu (IPM) yang juga Tokoh Penggiat Budaya, Tn Hj Ab Rani b Embi bersama Puan Aminah Mokhtar yang merupakan penerima SEA Write Award dan Sasterawan Johor memperkatakan tentang dua natologi yang baru dikeluarkan pada bulan Disember 2021. Moderator program ini Encik Mohd Ab Malek Md Shah merupakan AJK IPM dan Pensyarah kanan Jabatan Undang-undang.

 

Bicara Buku adalah satu program yang menghimpunkan para penulis, pengarang, penganalisis sastera, pembaca dan peminat sastera tanahair. Di situ mereka akan berhimpun bagi membicarakan antologi Cerpen Sepetang di Kuala dan Antologi Puisi Ramban Musim. Kedua-dua antologi ini menghimpunkan karya-karya ahli Ikatan Persuratan Melayu yang bukan sahaja bermastautin di Melaka tetapi juga di luar Melaka. Dua antologi ini diterbitkan sempena 70 tahun Ikatan Persuratan Melayu. 


Antologi Cerpen Sepetang Di Kuala menghimpunkan 16 buah cerpen penulis IPM. Gandingan orang lama dan baharu ini menampilkan gaya tersendiri dalam menghasilkan cerpen. Terdapat juga cerpen mantan Ketua 1 IPM iaitu Cerpen Hudud karya Allahyarham Razali Endun selain karya Allahyarhamah Zaiton Md Tawil bertajuk Persona Berkalung Nestapa IPM memberikan penghormatan untuk menerbitkan karya ahli IPM yang telah pergi sebagai mengenang jasa dan sumbangan mereka dalam dunia persuratan tanah air. Selain itu turut termuat ialah cerpen yang telah memenangi Pertandingan Menulis Cerpen Sejaran Melaka anjuran IPM.

 

Antologi Cerpen Sepetang Di Kuala memaparkan sikap penulis yang begitu prihatin terhadap sejarah bangsa selain dengan begitu bijaksana cuba untuk mengetengahkan aspek budaya dan persekitaran hidup. Penulis cuba menggarap budaya hidup orang-orang melayu pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang menuntut pertimbangan akal untuk meletakkan benar salah dalam pertimbangan sejarah. Malahan terdapat juga penulis yang begitu berani cuba untuk bereksperimen bagi menguji pemahaman dan penerimaan khalayak pembaca. Semoga karya-karya yang diterbitkan ini mampu menggugah rasa cakna pembaca terhadap sejarah dan persekitaran hidup mereka.

Antologi Puisi Ramban Musim merupakan himpunan 84 buah karya ahli IPM. Tema yang menjadi pilihan penulis ada pelbagai namun apa yang pasti tema ini mencakupi hubungan penulis dengan manusia dan persekitaran mereka. Hal ini menunjukkan betapa akrabnya hubungan manusia penulis itu dengan manusia dan alam yang melingkari hidup mereka. Ini bertepatan dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh penulis. Rasa prihatin penulis mampu mengangkat permasalahan yang dihadapi oleh manusia dan persekitarannya. Semoga apa yang cuba dibawakan oleh penulis terhadap khalayak pembaca mampu membawa perubahan ke arah kebaikan yang dihasratkan.

 



No comments:

Post a Comment